SATU PENCERAHAN.
(Soal Jawab Agama dengan ustaz, bukan saya)
Soalan :
Apabila seorang lelaki menjadi suami, dosa-dosa isteri, anak-anak perempuan belum kahwin, dan anak lelaki yang belum baligh, si suami yang menanggung. Betul ke uztaz? Adakah dosa-dosa perempuan sebelum dia berkahwin, suami dia yang tanggung selepas bernikah? Setiap sentuhan di antara si suami dan si isteri mendapat pahala dan gugur nya dosa-dosa kecil apabila suami dan isteri berpegangan tangan?
Jawapan :
Suami merupakan ketua rumahtangga dan suami bertanggungjawab untuk memberikan segala nafkah kepada isterinya. Di antara tanggungjawab yang penting ialah memberikan didikan agama kepada isteri dan anak-anaknya supaya tidak berlaku perkara-perkara yang dilarang oleh Islam di dalam rumahtangganya.
Segala dosa yang dilakukan oleh isteri dan anak-anaknya akan ditanggung oleh mereka sendiri dan TIDAK dipertanggungjawabkan kepada suami atau orang lain. Suami atau ayah hanya menanggung dosa kecuaiannya sahaja kerana tidak mendidik isteri dan anak-anaknya ke jalan yang benar iaitu Islam. Firman Allah yang bermaksud :
“Katakanlah: "(Sesudah Aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) Yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja Yang menanggung dosanya; dan seseorang Yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.” (Al-An’am : 164)
Suami yang memberikan didikan agama dan teguran kepada isteri dan anak-anaknya supaya jangan melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah dan mematuhi segala peraturan Islam, tetapi isteri dan anak-anaknya tetap melakukan perkara dosa juga, maka di sini suami tersebut terlepas dari dosa kecuaiannya, kerana suami tersebut telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Jangan jadi suami yang dayus, kerana suami dayus adalah suami yang menghalalkan atau tidak berani menegur isterinya melakukan dosa. Suami dayus tidak layak masuk syurga, kerana beliau tidak mencegah isteri dan anak-anaknya melakukan kemungkaran, segala amalan suami tersebut ditolak oleh Allah dan dihumbankan ke dalam neraka Allah disebabkan ia adalah suami yang tidak menunaikan amanah dan tanggungjawabnya. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman jauhkanlah dirimu dan ahli keluargamu dari azab api neraka."
Anak-anak yang belum baliqh, tidak ditetapkan lagi dosa dan pahalanya, kerana mereka tidak dikira orang yang mukallaf lagi, segala kejahatan dan dosa ditanggung oleh ayahnya sendiri, kerana ayahnya merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan agama kepada anak-anaknya. Apabila anak tersebut telah baliqh, maka segala dosa akan ditanggung oleh mereka sendiri, kerana segala peraturan syariat telah ditetapkan atas diri mereka di sebabkan telah baliqh.
Benar bagi suami isteri yang berpegangan tangan atau bersalaman antara satu sama lain, maka dosa kecil mereka akan keluar melalui celah-celah jari mereka. Islam mengajar umatnya yang telah berkahwin saling bersalaman dan berpegangan tangan kerana segala dosa-dosa kecil suami isteri hilang disebabkan perbuatan tersebut.
Wallahu'alam.
c&p
cc by..sham kamikaze
No comments:
Post a Comment