Saturday 24 December 2011

merokok


 Merokok


Tembakau merupakan bahan utama dalam rokok yang telah diperkenalkan secara menyeluruh oleh penjajah Barat. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersuka ria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan, tetapi pada hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka berangapan bahawa dengan merokok mereka dapat  bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan.

Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok menyebabkan pelbagai usaha dijalankan untuk membendung gejala negatif ini daripada terus mempengaruhi para remaja. Kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah mengakui bahawa mereka merokok lantaran pengaruh daripada rakan sebaya. Sikap terikut-ikut dengan tabiat tidak sihat ini seterusnya akan menghanyutkan mereka sehingga merasakan bahawa merokok itu bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup.

Tidak kurang juga yang secara jujur mengakui bahawa rasa bosan dengan beban tugas sebagai pelajar telah mendorong mereka menghisap rokok. Jika alasan ini dikaji, ternyata kebanyakan pelajar ini merupakan mereka yang malas dan ada yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca, dan mengira. Oleh itu, mereka dengan mudah menuding jari kepada pihak lain. Ibu bapa menjadi sasaran untuk dipersalah kerana dikatakan bahawa ibu atau bapa yang merokok akan menyebabkan anak-anak mengikut jejak langkah mereka.

Kesan akibat merokok ialah,merokok boleh melesukan tubuh dan fikiran, bukannya menenangkan fikiran. Bau asap mengganggu dan menyakiti orang yang tidak merokok. Perokok bukan sahaja membahayakan kesihatan diri sendiri tetapi juga membahayakan mereka yang terdedah kepada asapnya. Kesan jangka pendek kepada mereka yang terdedah dengan asap rokok ialah berbau busuk, sakit-sakit mata, hidung serta kerongkong, pening kepala dan batuk. Kesan jangka panjang pula, mereka akan mengalami gangguan fungsi paru-paru. Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti alahan, asma, penyakit jantung dan paru-paru, risikonya lebih teruk. Seperkara lagi yang patut disedari perokok ialah merokok membazirkan wang, disamping menjadi punca kebakaran daripada puntung rokok yang dibuang sewenang-wenangnya, serta menjadi faktor penyebab kepada pencemaran udara daripada asap rokok.

 Kesimpulannya, ketagihan merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan tubuh dan rohani malah menjadi punca kepada pelbagai penyakit. Amatlah malang seandainya remaja beranggapan bahawa mereka akan lebih bergaya dan kelihatan lebih dewasa apabila merokok. Alasan ini ternyata salah kerana merokok sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan sebaliknya mengundang ketagihan yang berpanjangan.

No comments:

Post a Comment