Sunday 4 December 2011

Penghakisan cirri-ciri kerharmonian warisan melayu oleh proses pembaratan

PENDAHULUAN

Masyarakat Melayu mengalami perubahan struktur dan organisasi setelah Tanah Melayu dijajah seluruhnya oleh Inggeris. Penjajahan Inggeris memperkenalkan bukan sahaja dasar-dasar baru dalam bidang politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain, tetapi juga nilai-nilai baru yang terselindung di sebalik dasar-dasar tersebut. Orang Melayu, sama ada secara sedar atau tidak, turut mendokong nilai-nilai tersebut setelah menerima (secara paksaan atau terpaksa) dasar-dasar penjajahan dalam bidang-bidang yang disebutkan di atas. Pengaruh Budaya Barat Pertembungan elemen-elemen baru yang diperkenalkan oleh penjajah dengan amalan-amalan tradisi orang Melayu, banyak mewujudkan konflik dan kontradiksi.
 Konflik dan kontradiksi ini, terutamanya atas paras nilai, berlarutan hingga ke hari ini walaupun negara kita telah bebas dari cengkeman penjajah. Ini kerana, pengaruh Barat dan nilai-nilai dari Barat terus melanda, malah menjadi kian dominan. Program-program pembangunan dan perindustriaan yang dilancarkan oleh negara-negara membangun termasuk Malaysia hari ini, masih mengambil model Barat. Begitu juga dengan perkembangan teknologi maklumat menjadikan dunia kini semakin kecil. Segala perkembangan yang berlaku terutamanya, di negara-negara maju di Barat, akan tersebar dengan begitu cepat di seluruh dunia. Pengaruh barat ini dapat dilihat yang mana semakin menular dalam kalangan masyarakat kita hari ini terutamanya golongan muda-mudi yang mudah terpengaruh dengan aliran muzik dan budaya Barat seperti  Black Metal,  Punk dan  Skinhead. Aliran-aliran ini jelas sama sekali bertentangan dengan ajaran agama Islam. selain itu pelbagai bentuk dan corak budaya negarif yang cuba dibina kepada remaja sekarang ialah materialism,hedonistik dan individualistik.





Bentuk dan corak budaya negarif yang cuba dibina kepada remaja.
 Materialisme merupakan Sikap dan sifat yang mementingkan kebendaan, cuba ditanam dalam diri remaja. Mereka cuba disogok atau diajar dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian mereka. Segala perjalanan hidup mereka penuhi dengan nilai kebendaan semata-mata. Hingga ia melahirkan falsafah, guna segala sumber alam yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalakan kepada genarasi akan datang. Ini kerana segala apa yang kita miliki perlu kita habiskan hari ini juga. Ini juga menyebabkan lahirnya gaya hidup berbelanja segala pendapatan yang diperolehi, tanpa perlu memikirkan keadaan akan datang. Konsep berbelanja denga sederhana serta, menjadi pengguna yang bertanggungjawab tidak wujud di dalam nilai kehidupan materialisme.
Kedua pula hedonistik, budaya hedonistik merupakan budaya berhibur dan bergembira. Dan bersuka-suka serta menjalani kehidupan yang sebebasnya demi memenuhi nafsu manusia yang tiada batasnya. Ini terangkum dalam peribahasa Barat yang menyatakan “bergembiralah engkau pada hari ini, puaskanlah nafsumu hari ini, kerana esok engkau akan mati”. Budaya hedonistik di kalangan remaja kian mudah dilihat dewasa ini.  Contohnya, hiburan yang dipilih remaja hari ini, sering melangkah batasan norma sosial masyarakat timur. Misalnya, lirik-lirik lagu yang sering didengar oleh remaja kini hanya berkisar kepada persoalan cinta, seks, dan kebebasan tanpa batasan. Secara langsung ia membina norma negatif kehidupan remaja seperti menidakkan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, berhibur hingga melanggar batasan budaya dan sebagainya.
Individualistik merupakan gaya hidup yang mementingkan diri mula menjalar di dalam perasaan, sanubari dan perlakuan remaja hari ini. Remaja hari ini disogokkan dengan tema kehidupan menafikan keperluan untuk berkongsi kegembiraan, kehidupan, tenaga, ilmu dan kesihatan bersama orang lain. Mereka berpendapat mereka bebas untuk mencemarkan alam sekitar, kerana itu hak mereka. Mereka bebas untuk bersikap tidak sopan seperti pergaulan bebas kerana itu juga hak mereka. Dalam masa yang sama remaja kini tidak lagi mempunyai sikap untuk membantu orang yang lebih tua, membantu ayah ibu, menyelesaikan masalah sahabat dan semangat gotong-royong. Segala nilai murni dalam kehidupan remaja telah dipenuhi dengan gaya penting diri dalam kehidupan moden ini.
Pengaruh Skinhead     
Skinhead adalah suatu sub-budaya yang lahir di London, Inggeris pada akhir tahun 1960-an. Sekarang  Skinhead sudah menyebar ke seluruh belahan bumi. Nama  Skinhead merujuk kepada para pengikut budaya ini yang rambutnya di botakan.  Meskipun  Skinhead banyak diasosiasikan dengan kelompok orang-orang yang rasis dan Neo-Nazi, namun Skinhead yang sebenarnya tidaklah Neo-Nazi, kerana pada awalnya Skinhead adalah kaum yang tertindas dari kelas pekerja (utamanya buruh pelabuhan) di London, Inggeris. Skinhead juga biasa merujuk kepada kepada kelompok orang (biasanya remaja) yang merupakan peminat musik streetpunk dan juga punk. Sejak tahun 1990 lagi, budaya  Skinhead telah dibawa masuk ke Malaysia. Namun pada masa itu golongan Skinheads adalah terlalu kecil. Pada tahun 1992 budaya Skinheads telah berkembang, ini kerana Singapura merupakan sumber maklumat tentang budaya Skinheads. Skinheads di Malaysia sering berulang alik dari Singapura ke Malaysia untuk mendapatkan maklumat tentang Skinheads. Pada mulanya golongan  Punk Rock di Malaysia yang berperanan memperkembangkan budaya  Skinheads. Ini adalah kerana pada masa itu masyarakat memandang serong tentang budaya Punk Rock. 
Budaya Punk
Punk pula  lahir di London, Inggeris. Sejak tahun 1980-an, ketika punk bermaharalela di Amerika, golongan  punk  dan  skinhead seolah-olah bersatu, kerana mempunyai semangat yang sama. Namun, Punk juga dapat diererti sebagai  muzik atau genre yang lahir di awal tahun 1970-an. Punk juga boleh diertikan sebagai ideologi hidup yang mencakup aspek sosial dan politik.  Gerakan anak muda yang diawali oleh anak-anak kelas pekerja ini dengan segera membantah Amerika yang mengalami masalah ekonomi dan kewangan yang dipacu oleh kemerosotan moral oleh para tokoh politik yang memicu peningkatan pengangguran yang tinggi. Banyak yang menyalahertikan  punk  sebagai  glue sniffer dan perusuh kerana di Inggeris pernah terjadi wabak penggunaan jem berbau tajam untuk mengganti bir atau arak yang tidak  terbeli oleh mereka.  Punk lebih terkenal dari hal fashion yang dikenakan dan tingkah laku yang mereka perlihatkan, seperti potongan rambut  mohawk ala suku indian, atau dipotong ala feathercut dan diwarnai dengan warna-warna yang terang, sepatu boots, rantai dan  spike, jaket kulit, celana jeans ketat dan baju yang lusuh, anti sosial, kaum perusuh dan kriminal dari kelas rendah, pemabuk berbahaya sehingga banyak yang mengira bahawa orang yang berpenampilan seperti itu sudah layak untuk disebut sebagai punker. 
Pengaruh Black Metal
Black Metal merujuk kepada muzik yang mempunyai ciri-ciri khusus. Antaranya adalah ia mencemuh semua agama kecuali pagan. Oleh itu Black Metal boleh dianggap sebagai muzik keagamaan pagan. Dengan itu sebarang dakwaan bahawa muzik  Black Metal tidak mencemuh agama meletakkan kelompok yang sedemikian terkeluar daripada  Black Metal. Sementara yang mendakwa mereka merupakan pengikut Black Metal meletakkan diri mereka terkeluar daripada semua jenis agama.  Pada 23 Januari 2006, Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia telah memutuskan bahawa aliran muzik  Black Metal dikategorikan sebagai ajaran sesat dan boleh menjejaskan akidah mereka yang mengamalkannya. Sejarah Black Metal Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, satu daripada tokoh terkenal di Norwegian adalah Oystein Aarseth, lebih dikenali sebagai Euronymous, pemain gitar Mayhem. Dia seorang yang amat anti-Kristian: ia menegaskan bahawa matlamatnya adalah menghilangkan pengaruh Kristian dan semua.
Isu kemaksiatan dan pelbagai keruntuhan akhlak di Malaysia setelah negara kita merdeka 50 tahun dulu, adakah jiwa raga, minda dan tingkah laku rakyat Malaysia benar-benar merdeka?  Keruntuhan akhlak yang menjadi ancaman rakyat Malaysia terutama masyarakat melayu yang sinonim dengan ajaran islam, bermula dari diri individu itu sendiri.  Mereka ini berjiwa kerdil, pasif, tidak menghargai diri, tidak berpendirian dan tidak berwawasan. Mereka  juga tidak mempunyai identiti sendiri, mudah terpengaruh dan lebih mengagung-agungkan budaya kuning dari Barat. Sepatutnya mereka bangga dengan adat ketimuran yang terkenal dengan budi bahasanya. Mereka juga lemah minda, malas berfikir dan mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu atau menyelesaikan masalah sehingga ada yang mengambil dadah dan yang paling kritikal sehingga membunuh diri. Dalam  melahirkan kebanggaan, sebahagian rakyat khasnya golongan remaja  terlibat dengan fenomena keruntuhan akhlak  yang amat menjijikkan dan boleh melemah dan meruntuhkan negara bangsa.  Antara gejala keruntuhan akhlak tersebut ialah perbuatan maksiat seperti khalwat,  zina dan sumbang mahram, minum arak, penggunaan pil hayal, judi dan penagihan dadah yang dilihat hampir tiada jalan penyelesaiannya.
Dadah
Ancaman Penagihan Dadah masih kekal sebagai musuh pertama negara sehingga kini.  Walaupun agak keterlaluan untuk mengaitkan penagihan dadah ini dengan gejala keruntuhan akhlak, namun semua berpunca daripada fenomena akhlak yang tidak diurus dengan bijaksana sehingga seseorang itu terjerumus ke lembah kehancuran ini. Jumlah penagih dadah yang dikesan menunjukkan Pulau Pinang mencatatkan bilangan penagih paling ramai dikesan berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak 6,685 orang diikuti  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6,073), Kedah (4,593), dan Kelantan (3,625).  Mengikut sumber itu juga didapati 72.62 peratus yang ditangkap merupakan golongan belia yang majoritinya berumur 25 – 29 tahun,  71.35 peratus yang dikesan itu pula adalah belia Melayu yang beragama Islam, 79.56 peratus berpendidikan sekurang-kurangnya tingkatan 3 keatas. Ini amat memalukan kita sebagai umat bangsa melayu yang beragama islam.
 Mat Rempit
Masalah kebejatan sosial seperti aktiviti pelumbaan motosikal haram oleh penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’ bukanlah merupakan satu isu yang baru memandangkan gejala sebegini telah wujud sekian lama di jalan-jalan raya di negara ini. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, rempit bermaksud menyesah atau memukul sesuatu contohnya dengan menggunakan rotan. Sebutan rempit itu sendiri sebenarnya adalah berasal daripada perkataan  rampit iaitu menggambarkan pelumba memeras minyak di jalan raya (litar). Didapati pada sekitar tahun-tahun 80an dan awal 90an, gejala ini banyak bertumpu di Kuala Lumpur, ianya kini sudah merebak hampir ke semua negeri di Malaysia. Malahan, di ceruk-ceruk kampung sekalipun gejala sebegini sudah menjadi lumrah dengan penglibatan masyarakat tanpa mengira batas umur dan bangsa. Trend menunjukkan aksi menunggang motosikal di jalan raya dengan pelbagai bentuk gaya oleh remaja dan belia khususnya sehingga mendatangkan kecelakaan perlu dikawal dan dihapuskan segera secara menyeluruh kerana ia akan menjadi gejala sosial yang sukar dirawat. Ia bukan sahaja berleluasa di kawasan bandar, malah di kampung, aksi mat rempit sentiasa mendapat perhatian murid sekolah rendah yang kemudian mencuba aksi berbahaya dengan basikalnya. Antara aksi-aksi berbahaya yang biasanya dilakukan oleh golongan mat rempit ini lalah:
• Wheelie - menunggang laju sambil mengangkat tayar di bahagian depan.
• Wikang - menunggang sambil mengangkat tayar di bahagian belakang.
• Scorpion - menunggang motosikal sambil kaki menghala di bahagian atas.
• Superman - menunggang laju sambil terbaring persis aksi superhero, Superman.
• Pereng/corner - bahagian meletak kaki bergesel di jalan raya ketika menunggang di selekoh.
Remaja merempit untuk mencari keseronokan, kepuasan, kemasyhuran, wang dan perempuan. Kepuasan dan keseronokan untuk melepaskan diri sementara dari tekanan hidup. Mengecapi bentuk hiburan yang murah dengan hanya berbekalkan RM4 untuk minyak dan keberanian untuk beraksi.  Ada yang mendapat habuan lumayan berupa wang dan perempuan. Bukan semua berani mati begitu tapi wang taruhan dikumpul dalam kalangan mereka, menyuburkan lagi gejala ini. Mengikut statistik PDRM, sejak 2001 sehingga Mei 2008, sebanyak 3,182 penunggang motorsikal ditahan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas, dan 2,970 daripadanya berusia antara 16 tahun dan 25 tahun. Kegilaan anak-anak muda ini bukan sahaja berbahaya tetapi menambahkan lagi kadar kemalangan dan kematian penuggang motosikal dijalan raya.
Pembuangan Bayi
Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak  zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta nak-anak perempuan  atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi langkah terbaik dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.  Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia.
Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah.  Majlis HEWI PKPIM juga melihat senario pembuangan bayi yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat kritikal dan perlu ditangani habishabisan oleh semua pihak. Sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan perlu bekerjasama dalam menangani isu ini. Isu pembuangan bayi merupakan isu yang besar dan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa.















PUNCA-PUNCA KERUNTUHAN AKHLAK
Saban hari isu-isu gejala sosial yang membabitkan gadis remaja hangat diperkatakan, secara tidak langsung, isu ini turut menggambarkan bahawa gadis remaja kini semakin agresif, berani, dan liar. Banyak kajian akademik telah dibuat oleh mereka yang pakar dan terlibat secara langsung dengan isu-isu remaja secara langsung dan tidak langsung seperti pihak kementerian, jabatan, agensi, persatuan dan NGO, pihak cerdik pandai, orang perseorangan dan lain-lain. Daripada kajian yang telah dijalankan didapati masalah remaja ini mempunyai hubungan kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah, pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, rakan-rakan dan  lainlain.
Apabila masalah keruntuhan remaja dibincangkan soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku?  Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.  Justeru apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka akan mengundang perasaan ingin tahu dalam kalangan remaja. Secara tidak langsung membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara-perkara tersebut. Perasaan begitu sebenarnya adalah baik untuk remaja, namun yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya, umpamanya para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa ingin dilakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara perkara tersebut. 
Pengaruh Rakan Sebaya
Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.
Pengaruh Media Massa
Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial dalam kalangan para remaja hari ini. Tidak semuanya apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas dalam kalangan remaja, program-program realiti televisyen, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilainilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat. Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan terdapat dengan mudah dipasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD, atau lain-lain selain dari itu bahan media ini mudah diperolehi.
Pengaruh Televisyen Ke Atas Remaja
Penontonan televisyen secara umum boleh dikaitkan dengan usaha mengumpul maklumat. Selain itu, aktiviti ini juga boleh memberi kesan kepada kehidupan individu dan kelompok manusia dalam masyarakat. Ini kerana, kandungan mesej yang dipaparkan boleh wujud dalam pelbagai dimensi. Maklumat yang boleh digunakan untuk pengetahuan mampu membina sahsiah dan siasah manusia. Walau bagaimanapun televisyen sebenarnya turut menyampaikan mesej dalam genre hiburan yang boleh memberi kesan yang negatif. Pingree et. al (1991) menyatakan bahawa secara tersirat penonton yang menonton television secara berterusan berpotensi mendapat kesan kognitif, afektif dan tingkahlaku yang berbeza dengan mereka yang menonton television dalam masa yang dipecah-pecahkan (tidak berterusan).
Tidak dapat dinafikan, penciptaan televisyen nyata banyak mempengaruhi kehidupan seharian manusia. Marican dan Mohamed (1995) menyatakan bahawa pengaruh media massa ke atas gejala sosial remaja sememangnya ketara, maksud media massa di sini adalah surat khabar, majalah, radio, televisyen dan tayangan video. Majalah-majalah barat memaparkan gejala-gejala negatif seperti keganasan, pronografi, dan budaya hidup yang tidak sihat seperti “black metal”, “punk”, dan sebagainya. Kesemua ini telah menjadi bahan bacaan dan tontonan yang amat digemari oleh remaja. Kebudayaan Barat kini melimpah-ruah di Malaysia melalui media baru dan lama. Tidak dinafikan tamadun  negara ini diancam oleh imperialisme budaya Amerika. Filem dan siri televisyen Amerika mengetengahkan gaya ikutan (role model) yang menjadi ikutan rakyat negara ini terutama remaja dan belia. Jika rakyat Amerika menukar tabiat mereka, kita meneladaninya.
Produk Amerika memberi gambaran kepada corak hidup yang didamkan oleh pengguna di negara membangun. Media Barat cuba membentuk pemikiran rakyat dan cita rasa untuk mendapatkan apa yang digambarkannya sebagai produk global yang meliputi siaran media atau hiburan serta makanan segera seperti burger, pizza,pakaian selain gaya hidup. Fornas (1995) menyatakan bahawa kajian tentang remaja telah bermula sejak1904 oleh Stanley Hall’s On Adolescence. Banyak kajian telah dijalankan tentang budayadi kalangan remaja dari pelbagai aspek. Kazuto Kojima (1986) dalam tulisannya Youth and Television in Contemporary Japan – Analytical Framework, Background and Characteristic pula menyatakan bahawa hubungan antara remaja dan televisyen adalah satu subjek yang penting dalam kajian masyarakat kotemporari (sementara) remaja merupakan satu fasa perkembangan fizikal dan psikologi yang berlaku kepada semua manusia dalam rentetan kehidupan. Remaja juga merupakan satu kategori sosial, yang diperlihatkan dengan institutsi sosial tertentu bermula dengan zaman kanak-kanak dan berakhir apabila tubuh badan telah berhenti perkembangannya (Fornas, 1995).Ketika peringkat inilah perasaan ingin mencuba dan ingin merasa sesuatu dating membuak-buak. Antaranya ialah meniru dan mencuba apa yang ditayangkan di televisyen terutamanya perkara-perkara yang mendatangkan keseronokan. Perasaan ini tidak salah namun remaja perlu bijak menapis perkara yang ditiru, sama ada mendatangkan kesan yang positif atau negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya.
Gerbner dalam Television’s Global marketing Strategy Creates a Damaging and Alienated Window on the World, memperkatakan tentang kekuatan pengaruh televisyen yang digelar sebagai satu mitologi, mempunyai hubungan organik yang kuat,diulangi setiap hari dan dari itu temanya mempengaruhi konsepsi realiti melalui kesan penyuburan (cultivation effect). Gerbner melihat kewujudan televisyen sebagai satumasalah kerana ia berbentuk komersil dan berbentuk massa .Pandangan Gerbner ini harus diambil kira, memandangkan beliau merupakan sarjana terawal yang mengkaji kesan media terhadap khalayak. Tambahan pula, beliau merupakan pengasas Teori Penyuburan (Cultivation Theory) yang membuka banyak ruang kajian kepada sarjana lain untuk mengkaji kesan pendedahan media kepada khalayak  Sebald (1997) menyatakan bahawa media massa moden mempunyai kuasa mensosialisasi golongan muda. Antara media massa ini, televisyen mempunyai pengaruh yang paling besar. Kajian longitudinal terhadap remaja (Gebner et. al., 1980; Morgan,1987;Morgan et. al., 1990) menunjukkan bahawa televisyen mempunyai pengaruh bebas terhadap sikap bergantung kepada masa menonton (Gerbner, 1998). Hasil kajian ini menunjukkan kepada kita bahawa kesan media bukanlah kecil dalam kehidupan seharian. Memahami keadaan ini perlulah membuatkan kita lebih bersiap sedia dalam mendepani cabaran mendatang untuk memimpin golongan muda agar lebih terpimpin dari segi sikap dan akhlak.
Selain itu, Liebes dan Curan, 1998 (dalam Samsudin, 2001) menyatakan bahawa media bukan sahaja dianggap sebagai satu ruang untuk mengedarkan maklumat agar individu lebih berinformasi tetapi juga dianggap sebagai satu ruang budaya yang watak dan peristiwanya digarap sedemikian rupa yang akhirnya akan mencorakkan identiti budaya sesebuah masyarakat. Maksudnya, kita akan terdedah kepada proses integrasi dan disintegrasi budaya luar yang menyerap dan diterima dalam budaya kita di samping itu iajuga mengdisintegrasikan budaya yang sedia ada melalui media. Hakikat ini boleh mengakibatkan budaya yang sedia ada dibayangi oleh budaya baru yang mengintegrasikan ciri-ciri budaya luar. Kesan inilah yang paling kritikal jika tidak dikawal dengan sebaiknya. Budaya barat misalnya dengan mudah meresapi budaya timur melalui media yang dilihat indah oleh golongan muda. Dalam hal ini, peranan institusi keluarga dan institusi pendidikan amat penting untuk menyedarkan golongan muda yang mudah tertipu dengan keindahan budaya luar yang merosakkan andainya dibiar menular dalam jiwa remaja.
Identiti Budaya Melayu
Dewasa ini senario yang dapat dilihat daripada sudut budaya  melayu ialah perubahan yang agak ketara dalam konteks norma hubungan berlainan jantina. Suatu ketika dahulu, masyarakat Melayu tradisi mengamalkan pemisahan hubungan mengikut jantina dari segi prinsip dan praktikal khusus untuk memperlihat identiti adat dan tatasusila. Hubungan remaja dalam konteks moden dipengaruhi oleh pengenalan sistem pendidikan sekular yang mengamalkan orientasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas campuran antara lelaki dan perempuan (Samsudin, 1998).Keadaan ini mengubah landskap pemikiran dan pola sosialisasi remaja Melayu yangmerupakan aktor dalam sistem ini.
Manual Latihan Fasilitator Prostar (2001) melaporkan 4.6% daripada seramai1,900 pelajar sekolah menengah di Kuala Lumpur yang berumur antara 16 hingga 18tahun telah berpengalaman melakukan hubungan seks. Kajian Remaja dan AIDS padatahun 1996 yang membabitkan 4,347 remaja berusia antara 13 hingga 25 tahun pula mendapati 6% daripada sampel pernah terlibat dengan seks bebas. Angka ini pastinya telah berganda pada tahun 2006 dan pastinya terus meningkat sekiranya tidak dibendung secara bersama dari sekarang. Penjelasan kepada keadaan ini antara lain ialahpendedahan media asing yang berleluasa kepada remaja. Kekangan ilmu agama dan amalan menjadikan pengaruh ini lebih kuat daripada yang dijangkakan dan menjadikan agama, budaya tradisi dan norma yang disanjung kian dilupakan.
Sikap-sikap negatif seperti salah laku, rogol, buli, serangan, pelacuran remaja dan peras ugut adalah antara sikap yang dipelajari daripada televisyen. Siri-siri seperti detektif, peguam dan orang tahanan yang lari dari penjara, meninggalkan kesan ke atas remaja dan kanak-kanak, khususnya kepada mereka yang mengalami masalah psikologi. Kini didapati ramai penduduk negara ini khususnya di Lembah Klang yang memiliki lebih daripada dua peti televisyen di rumah mereka dan ini membolehkan remajamenonton televisyen tanpa dikawal ibu bapa. Bagaimanapun televisyen bukanlah faktortunggal ke arah keruntuhan moral kerana persekitaran dan keadaan turut menyumbangkepada gejala itu.
Penyakit sosial sebenarnya sudah lama bertapak di negara kita. Ia disebabkan oleh banyak faktor, antaranya adalah suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutamanya dengan pengaruh media massa dan elektronik yang saban hari memaparkan tentang eksploitasi terhadap wanita dan kebebasan remaja yang keterlaluan yang banyak mempengaruhi pemikiran golongan muda terutama yang baru meningkat remaja. Dengan kurangnya didikan agama dan kasih sayang dari ibu bapa, perasaan ingin mencuba,desakan atau pengaruh dari rakan sebaya ini semua sebab terjadinya masalah sosial yangkian sukar dibendung lagi
Menurut Ismail (1999), isu agama dan budaya menjadi penting kerana sejak kebelakangan ini terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa berlakunya hakisan terhadap nilai-nilai budaya agama dan budaya positif orang Melayu. Akibatnya, terserlahlah kekaburan persepsi masyarakat terhadap nilai agama dan budaya yangselama ini telah berjaya membentuk pandangan dan tindakan serta cara hidup yang baik dan membangun. Cara hidup orang Melayu pada asalnya adalah berteraskan sifa tbudiman, penyayang, lemah-lembut dalam pertuturan dan hubungan dengan orang lain,tidak tamak dan gelojoh. Namun, apa yang berlaku hari ini adalah ahli masyarakat amnya dan kumpulan remaja khususnya dilihat semakin terbuka dalam segala aspek kehidupan yang tidak lagi mencerminkan nilai tradisi Melayu. Antara yang ketara ialah perbincangan tajuk-tajuk tabu secara terbuka sesama ahli kumpulan. Misalnya perbincangan berkaitan seks dan peranan ahli keluarga yang berbeza jantina. Ini sekaligus menunjukkan bahawa sifat malu turut mula terhakis dikalangan kumpulan remaja Melayu hari ini. Namun, jika perbincangan adalah untuk tujuan akademik ia boleh diterima, tetapi tidak bagi perbincangan terbuka yang tidak mempunyai tujuan berfaedah melainkanuntuk keseronokan.
Penghujahan tentang isu-isu sosial remaja di negara ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan isu identiti budaya dan pengaruh industri media. Samsudin (1998)menjelaskan bahawa untuk memahami pengaruh media dalam pembentukan identitibudaya remaja, program media perlu dilihat bukan sahaja sebagai satu komoditi komersial tetapi juga sebagai satu komoditi budaya. Berfungsi sebagai komoditi budaya,bererti lebih luas lagi peranan yang dimainkan dan impaknya terhadap remaja jugasemakin kuat. Semakin kuat impaknya terhadap remaja, maka jelaslah remaja itu sendiriperlu lebih bijak dan waspada dalam memastikan impak buruk itu tidak terus merosakkan hidup yang sekali ini.
Sikap Keluarga
Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya gejala sosial dalam kalangan remaja. Walaunpun tidak berlaku pada semua keluarga, tetapi keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja, boleh menjadi penyumpang kepada wujudnya masalah ini. Mereka menjadi ahli keluaraga yang hanya hidup tapi tidak diperduli dan tidak diberi input kerohanian, kesedaran, nilai-nilai mulia dan keagamaan yang cukup. Keluarga yang terlalu mengongkong ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu tertutup. Maksudnya keluarga itu seolah-olah telah menetapkan suatu undang-undang atau peraturan yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa remaja memberontak dan jika berpeluang keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa berfikir panjang. Manakala keluarga yang terlalu memberikan kebebasan ini biasanya bersikap terbuka yang keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada suatu peraturan atau ketetapan khusus yang diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja perlukan sesuatu yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan mereka. Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan sebaik mungkin mengakibatkan mudah terjerumus ke arah gejala sosial yang pelbagai kini.
Institusi keluarga penting untuk membantu mengelakkan para remaja dari terjebak dengan gejala sosial. Paling penting perlu dititik beratkan ialah tentang agama. Adanya asas agama yang teguh, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus kepada perkara yang tidak baik. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting, terutamanya sebagai model kepada anak-anak. Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu berperanan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik.  Ibu bapa juga digalakkan merancang aktiviti bersama anak-anak dan ahli-ahli keluarga.









KESAN DAN CABARAN TERHADAP  FENOMENA KERUNTUHAN AKHLAK   
Keruntuhan akhlak remaja-remaja melayu pada hari ini akan memberikan  kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja  merupakan aset utama negara pada masa akan datang,  memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Sekiranya individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka secara automatiknya peribadi individu itu juga akan menjadi buruk.  Remaja yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.
Kesan Ke atas Individu
Akhlak merupakan cermin dan peribadi seseorang individu. Oleh itu akhlak sangat penting dalam kehidupan seharian seseorang individu. Individu yang mempunyai akhlak yang baik akan  dipandang mulia dan tinggi, manakala individu yang tidak mempunyai akhlak yag baik  akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Namun begitu kebanyakan remaja  pada hari ini,terutamanya remaja muslim, mempunyai akhlak yang begitu memalukan agama, bangsa dan negara.  Banyak kejadian seperti pembuangan bayi, zina, perjudian, budaya homoseksual, penagihan dadah dan sebagainya dilakukan oleh remaja muslim pada hari ini yang kebanyakan mereka berpaksikan dan bertunjangkan nafsu dan amalan yang dipengaruhi oleh budaya-budaya Barat dan asasnya mungkin berpunca daripada kurangnya pegangan agama pada diri mereka. Tidak dapat dinafikan juga kesan keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang mendalam pada diri individu. 





Kesan Ke atas Keluarga
Keluarga memainkan peranan yang penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu bermula. Keruntuhan institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Akhlak yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Benarlah kata–kata hikmah yang menyatakan bahawa rumah itu adalah akar segala-galanya. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak akan menyebabkan dan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu.  Antara kesan yang akan berlaku akibat  terhadap institusi kekeluargaan ialah:
• Keruntuhan institusi kekeluargaan akan berlaku. Akhlak yang baik datangnya daripada keluarga yang harmoni dan bahagia. 
• Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam kekeluargaan, pastinya akan wujud penceraian. 
• Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak – anak akan hilang tempat bergantung dan bermanja. 
• Wujudnya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.








Kesan Ke atas Masyarakat
Keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar dalam masyarakat. Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa dapat dilihat dari segi akhlak dalam masyarakat itu sendiri. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan. Budaya kuning dan pengaruh budaya Barat mudah meresap masuk dan menjadi ikutan para remaja hari ini. Kiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan dan juga pihak–pihak yang berwajib, maka tidak hairanlah pada masa akan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Oleh itu pihak–pihak atau anasir luar akan cuba mengambil kesempatan  atas kelemahan bangsa kita sendiri. Namun begitu kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dikawal ialah: 
• Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. 
• Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat. Sifat saling curiga-mencurigai akan bertahta di hati masyarakat. 
• Wujudnya pergaduhan dalam masyarakat akan pasti akan berlaku. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. 
• Kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini  disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat. 
• Keharmonian dalam masyarakat tidak akan wujud. 






Kesan Ke atas Negara
Tidak dapat dinafikan juga keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangunnya sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Tidak dapat dinafikan lagi, akhlak remaja pada waktu ini berada pada tahap yang membimbangkan. Semua pihak terutamanya kerajaan, badan NGO, dan juga daripada masyarakat itu sendiri harus berganding bahu untuk menangani gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja.   Antara kesan yang akan berlaku ialah:
•  Negara akan kehilangan generasi dan kepimpinan pada masa hadapan. 
• Kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi negara juga
sukar untuk berkembang kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang yang tinggi di kalangan masyarakat. 
• Kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial dan keruntuhan akhlak. 
• Perbelanjaan kerajaan akan juga turut meningkat akibat berlakunya dalam peningkatan dalam kadar jenayah. 
• Anasir-anasir luar akan mudah meresap masuk kedalam negara seandainya generasi pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. 
• Kiranya akhlak remaja pada hari ini terutamnya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari ini tentulah serong dan buruk. 





CIRI–CIRI REMAJA YANG BERBUDAYA MURNI 
Kita mengimpikan remaja yang mempunyai kekuatan untuk menonjolkan gaya hidup murni dan menolak segala anasir negatif, serta bentuk penjajahan yang cuba merosakkan sistem hidup remaja dewasa ini. Remaja menentukan perjalanan kehidupan mereka bagi tujuan memastikan sama ada mereka menjadi remaja yang terbilang antara mereka yang gemilang. Perkara ini hanya mungkin berlaku dengan pembinan nilai baru dalam kehidupan ramaja.

Keyakinan pada Budaya 
Remaja hari ini perlu mempunyai kepada budaya dan cara hidup yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Remaja perlu menolak gaya dan perjalanan hidup yang cuba menjajah corak kehidupan mereka. Remaja sewajarnya lebih berbangga memakan kuih-kuih tradisi, lauk pauk negeri, dan pelbagai makanan milik nenek moyang kita. Daripada makan makanan yang dibawah untuk menjajah lidah dan citarasa remaja KFC, McDonald´s, Pizza Hut dan pelbagai lagi. Dalam soalan pemakaian harian, remaja perlu berani menolak bentuk pakaian yang tidak berteraskan budaya kita seperti jeans, tali leher, skirt dan pelbagai lagi. Sebaliknya remaja perlu berani untuk memakaian pakaian yang menggambarkan identiti kebangsaan yang lebih menarik, sopan dan berakhlak.
Keberanian 
Keberanian jiwa remaja untuk menolak kehidupan yang bertereskan kehidupan mementingkan diri, materialisme, individualistik dalam kehidupan merupakan satu langkah awal yang penting. Remaja perlu berani mencabar gaya hidup moden yang sering merosakkan minda, fizikal dam budaya hidup. Walaupun anda mungkin akan dianggap oleh rakan-rakan sebagai orang yang anti-sosial, kolot, dan menolak cara hidup moden. Tetapi keberanian jiwa remaja untuk menolak segala segi unsur yang sedemikian merupakan, satu contoh untuk gaya kehidupan yang murni dan lebih sempurna sebenarnya. 


Berilmu
Keilmuan merupakan teras dalam pembangunan jati diri seorang remaja. Namun keilmuan perlulah dimanifestasikan dengan pengalaman. Aktiviti membaca dalam kehidupan seorang remaja perlu menjadi amalan setiap detik kehidupan. Keilmuan juga bukan merujuk kepada alam persekolahan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata. Kerana alam persekolahan hanya memerlukan setiap remaja menghafal maklumat dengan tujuan untuk menjawab peperiksaan. Ini bukanlah konsep keilmuan yang perlu ada dalam kehidupan remaja. Sebaliknya, keilmuan tersebut merangkumi pembalajaran yang berteraskan keinginan memperolehi ilmu melalui keinginan sendiri yang bertujuan membina peribadi dan membantu sahabat dan masyarakat yang memerlukan. 
Disiplin
Disiplin merupakan asas yang terpenting buat seorang remaja. Disiplin yang utuh dan kukuh menjadi kekuatan menggerakan pembanggunan diri dan menampilkan budaya hidup yang murni. Disiplin sewajarnya dihayati dan diamalkan di dalam setiap aspek dan dimensi kehidupan seorang remaja. Disiplin ini secara mudahnya bolehlah dinyatakan merangkumi persoalan membaca, disiplin ibadah, disiplin pengurusan diri dan disiplin menguruskan masa harian. Dengan kekuatan disiplin sahaja remaja mampu untuk memartabatkan budaya murni mereka.

Manifestasi Peribadi
 Remaja perlu menonjolkan corak kehidupan yang baik, menarik dan murni. Konsep kesederhanaan perlu ada dalam kehidupan seorang remaja. Keperluan untuk menolak gaya hidup mewah, membazir, dan tidak berjimat adalah sesuatu yang wajar. Dalam masa yang sama sikap suka menolong orang tanpa mengira bangsa, agama dan negara perlulah menjadi amalan kehidupan remaja. Dengan mengambil Rasulullah s.a.w sebagai model kehidupan yang murni adalah sesuatu yang perlu. Kita dapat menilai bagaimana ketinggian akhlak, budi pekerti dan segala unsur kebaikan dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. Dalam masa yang sama segala gaya hidup yang menggambarkan pembaziran, sombong, hidup mewah, dan pelbagai unsur lagi, tidak wujud di dalam kamus hidup Baginda Rasulullah s.a.w.

Langkah-langkah mengatasi
Perlu ada langkah konkrit untuk kita menghadapi dan mengatasinya.
1.       Menilai kembali semua kurikulum pendidikan di negara-negara ini. Langkah ini penting kerana dari pendidikan inilah serangan pembaratan itu dimulai. Perlu ada kurikulum pendidikan yang tidak memisahkan di antara ilmu dengan pemilik ilmu iaitu Allah swt. Kurikulum yang mampu menanam kembali dalam jiwa anak-anak melayu islam  supaya memahami aqidah, syariah dan akhlak. Bukan kurikulum yang sekadar menjadikan Islam sebagai pengetahuan sahaja, tanpa melahirkan keyakinan dan pengamalan.

2.      Perlunya strategi dakwah dan tarbiyah yang berintegrasi di kalangan umat Islam agar mampu memberikan pengarahan yang benar dan memiliki kefahaman serta jatidiri yang sebenar sebagaimana yang telah dibangunkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat Nabi saw. Dengan kata lain, diperlukan suatu pola dakwah yang mampu memberikan sistem kekebalan (Al manaah) dalaman umat Islam dalam berhadapan dengan serangan dan racun pemikiran musuh-musuh Islam. Dalam masa yang sama, perlu ada keutuhan tarbiyah di kalangan umat Islam yang berjalan sepanjang masa agar dapat memberikan wawasan dan kefahaman Islam yang sebenar. Adalah suatu kenyataan yang tidak dapat kita bantah, keberhasilan gerakan musuh-musuh Islam selama ini adalah kerana lemahnya sistem pertahanan dalaman (jiwa) umat Islam serta kekosongan akal dan roh mereka dari ajaran Islam yang sebenar.

3.      Umat Islam seharusnya memberikan perhatian lebih besar terhadap bidang media massa. Bahkan seharusnya umat Islam mempunyai institusi kewartawanan Islam yang sempurna dan lengkap, yang dikelolai tenaga-tenaga yang profesional yang ikhlas dan mampu menyingkap pelbagai bahaya tersembunyi yang diusahakan oleh musuh-musuh Islam.





4.       Bagi membangun umat Islam agar memiliki kesatuan hati, umat Islam perlu memiliki jiwa mandiri dalam pelbagai aspek kehidupan. Kebergantungan kepada pihak luar, khususnya dengan musuh-musuh Islam samada dalam bidang ekonomi, ketenteraan dan pentadbiran telah menyebabkan kepimpinan Islam akur dengan kehendak dan kemahuan mereka. Ini akan menghasilkan kelemahan dan perpecahan. Lantas situasi ini memberi peluang kepada musuh-musuh Islam terus menerus menguasai halatuju umat Islam.

5.      Umat Islam perlu berhati-hati dengan sikap toleransi yang di taja oleh musuh-musuh Islam. Jangan sampai akibat terlalu bertoleransi dengan mereka, gerakan-gerakan merosakan aqidah dibiarkan begitu sahaja. Musuh-musuh Islam seringkali mengambil kesempatan terhadap istilah toleransi untuk menyuburkan gerakan anti Islam mereka.












KESIMPULAN
keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat khususnya melayu begitu membimbangkan dan boleh merencatkan kecemerlangan negara.  Malahan jika ini  tidak ditangani dengan bijaksana serta perancangan yang teliti pastinya akan mengancam keselamatan negara kerana elemen-elemen keruntuhan akhlak ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke arah kehancuran.  Kecemerlangan yang dilaungkan dan digembar-gemburkan ketika ini tidak memberi apa-apa makna kiranya akhlak rakyat tidak seiring dengan agenda untuk mencemerlangkan negara bangsa. Inilah antara yang menjadi isu dan cabaran besar pemimpin dan semua pihak untuk menentukan negara dan rakyat benar-benar menepati kecemerlangan 54 tahun kemerdekaan.
Arus westernisasi mengancam dan cuba meruntuhkan segala budaya murni yang dimiliki oleh masyarakat melayu. Arus ini cuba meruntuhkan keyakinan remaja terhadap budaya, bahasa, kepercayaan, gaya dan nilai hidup remaja. Ini jelas dapat dilihat daripada corak pemakaian remaja yang lebih selesa memakai tali leher, berbaju kemeja, berseluar jeans, berseluar pendek, berbaju ketat dan memakai anting-anting bagi lelaki. Mereka sudah tidak yakin untuk memakai baju kebangsaan milik mereka untuk majlis rasmi, malahan dalam kehidupan harian, mereka juga cuba mengelakkan pakaian yang melambangkan mereka. Dalam soalan pemakanan mereka lebih bangga memakan makanan barat seperti KFC, McDonald´s, Pizza Hut sebagai makanan yang melambangkan status mereka. Jika kita menoleh persoalan bahasa pula, remaja hari ini lebih selesa berbual dengan bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa kebangsaan. Sewajarnya remaja harus menyedari segala proses westernisasi ini merupakan proses yang dirangka oleh barat, demi untuk menjajah setiap ruang kehidupan remaja dewasa ini.

No comments:

Post a Comment